Malaysia Menuju ke Arah e-Ekonomi:

Oleh Nuradli Ridzwan Shah Bin Mohd Dali

Universiti Tenaga Nasional

 

Perkembangan teknologi didalam era e-kewangan, e-perniagaan dan e-dagang akan menukar cara bagaimana manusia membeli belah, bekerja, berkomunikasi dan sebagainya. Sebagai contoh dengan revolusi e kita tidak perlu pergi membeli-belah ke pusat membeli belah yang berada di tengah kota dimana kita perlu mengharungi kesesakan lalu lintas, membayar harga tempat letak kereta dan beratur untuk membayar barangan yang hendak dibeli di kaunter pasaraya membeli belah. Kita hanya perlu duduk dirumah didalam suasana yang aman, di atas kerusi empuk sambil menikmati kopi panas sambil membeli belah dengan menggunakan komputer peribadi dengan sambungan Internet. Dengan revolusi e yang kian berkembang ini tatacara kehidupan manusia akan berubah dengan lebih drastik lagi. Sebagai contoh lain ialah kebanyakan suri rumah sudah boleh bekerja di rumah dengan menjual barangan hasil buatan sendiri seperti kek, jahitan krostis, jem buatan sendiri hanya melalui pembinaan laman web sahaja. Disini kita menyaksikan perubahan yang terjadi ialah ramai manusia tidak perlu lagi ke tempat kerja untuk bekerja kerana dengan revolusi e anda hanya perlu log on ke komputer anda dan seterusnya boleh meneruskan kerja anda dari rumah sahaja sambil menyiapkan kopi dan sarapan pagi. Disini perubahan cara bekerja ini adalah sekali lagi disebabkan oleh perubahan teknologi dan contoh yang lain pula ialah kita masih boleh mengingati peristiwa berdarah pengeboman World Trade Center di Amerika Syarikat oleh rangkaian pengganas yang terancang yang mana Presiden Amerika Syarikat menuding jari kepada Osama Laden yang berada di dalam perlindungan Afghanistan. Pada masa yang sama Osama Laden telah menafikan tuduhan tersebut dengan mengatakan bahawa beliau tidak mempunyai sebarang bahan komunikasi untuk merancang kejadian tersebut. Manakala pihak perisikan Amerika Syarikat mengatakan dengan menggunakan halaman-halaman web rangkaian penganas boleh menghantar maklumat dengan mudah dan selamat kerana jumlah laman web adalah terlalu banyak di dunia menjadikan sukar untuk perisik Amerika Syarikat mengesan penghantaran maklumat tersebut. Pihak perisikan Amerika Syarikat juga mengatakan bahawa maklumat di hantar melalui kod-kod tertentu melalui laman-laman porno. Dengan kemajuan teknologi sekali lagi ianya mengubah secara amnya keupayaan masyarakat global untuk berkomunikasi dan berinteraksi. Malah ianya bukan sahaja mengubah cara kita berniaga malah mengubah keseluruhan cara berfikir masyarakat secara global.

 

Disini negara kita perlu kepada perubahan tersebut kerana ianya melibatkan pengalaman hidup, sesuatu yang berlainan, baru, satu realiti baru dan tidak dapat disangkal. Perubahan-perubahan ini boleh terbahagi kepada berbagai-bagai iaitu yang telah dijangka atau tidak dijangka, yang formal atau yang tidak formal bergantung kepada situasi. Ini adalah kerana perubahan berubah mengikut masa.

 

Walaupun ada banyak perubahan-perubahan dan agen-agen pengubah, ada juga yang menentang kepada perubahan. Sebagai contohnya, pada era permulaan komputer, ada terdapat banayak penentangan dari pekerja kerana mereka percaya dengan adanya pengunaan komputer, kerja mereka akan digantikan oleh robot-robot. Dan mereka akan kehilangan sumber pencarian sara hidup. Ini sebenarnya bergantung bagaimana kita melihat perubahan tersebut. Di dalam kes ini, cara yang terbaik ialah dengan mengikut dan menerima perubahan. Disini perubahan hanya akan mengugat kedudukan manusia jika ianya diendahkan kerana ianya sebenarnya adalah peluang. Perubahan akan menjana kepada lebih banyak perubahan yang mana ianya akan meningkatkan kualiti.

 

Dalam usaha untuk mencapai untuk menjadi sebuah negara yang celik IT, pembabitan masyarakat dan institusi secara efektif di dalam kemunculan persekitaran global amatlah ditekan. Di antara strategi yang telah di kenal pasti ialah E-Ekonomi, E Perkhidmatan Awam, E-Komuniti, E-Pembelajaran dan E Kedaulatan.

 

Malaysia mengambil langkah bersedia untuk menangani segala cabaran di dalam era e-ekonomi Langkah-langkah yang dapat kita lihat di ambil secara progresif oleh pihak kerajaan. Di antaranya ialah apabila kita berada di dalam era e-ekonomi, keperluan kepada kad digital bagi tujuan pembayaran menjadi satu faktor kejayaan sistem tersebut. Penggunaan kad pelbagai yang bertujuan untuk memudahkan orang ramai berurusan dengan agensi kerajaan dan syarikat swasta. Penggunaan kad pelbagai ini dapat memastikan semua rakyat Malaysia terlibat seratus peratus berbanding yang ada sekarang hanya tertumpu kepada pemegang kad kredit yang mempunyai pendapatan tahunan yang tinggi yang boleh menggunakan kemudahan e-ekonomi.

 

Langkah seterusnya ialah bagaimana Malaysia mengambil langkah untuk menangani persoalan keupayaan kuasa beli digital di dalam pasaran. Persoalan bolehkah e-ekonomi mendorong pembeli untuk membeli mengunakan komputer dan meninggalkan cara membeli-belah yang telah turun-temurun melihat secara fizikal barang yang hendak dibeli. Permasalahan ini perlu ditangani dengan meningkatkan pengetahuan tentang e-ekonomi melalui pendidikan dari peringkat awal pelajar sekolah. Langkah yang telah diambil ialah penubuhan Sekolah Bistari yang bertujuan melahirkan generasi baru yang celik ICT, kreatif dan inovatif serta berupaya untuk berdaya saing dalam era globalisasi.

 

Seterusnya dengan peningkatan didalam teknologi komunikasi adalah amat penting bagi sesebuah perniagaan itu meningkatkan usaha untuk menghantar produk-produk yang dibeli oleh pengguna melalui internet dihantar dengan cepat dan selamat. Integrasi diantara perniagaan dengan syarikat penghantaran memainkan peranan kepada kejayaan e-ekonomi kerana kepuasan penguna akan meliputi sekali perkhidmatan penghantaran yang akan dilakukan. Disamping itu cara perniagaan yang dijalan akan berubah dari segi operasinya terutama jika pelanggan tidak berpuas hati dengan produk yang dibelinya melalui internet, mereka boleh mengembalikan produk tersebut tanpa dikenakan sebarang kos termasuk kos penghantaran. Ini adalah untuk memberi peluang pembeli untuk memastikan mereka tidak tertipu dengan gambar atau grafik inter aktif yang selalunya kelihatan amat menarik di dalam internet.

 

Isu yang sering menjadi tanda tanya kepada pembeli digital ini ialah isu keselamatan pembelian melalui internet. Ramai pembeli merasakan tidak selamat untuk membeli melalui internet kerana ianya boleh mendedahkan identiti dan maklumat kewangan pembeli kepada pihak ketiga. Dari perspektif penjual pula mereka meragui keselamatan laman-laman mereka dari dicerobohi oleh pihak ketiga. Disamping mereka pihak korporat dan kerajaan juga mengkhuatir jika ada berlaku pencerobohan terhadap sistem mereka yang mana akan membocorkan rahsia resmi dan maklumat resmi. Ada diantara mereka yang melakukan "computer hacking" ini kerana hobi iaitu suka-suka atau untuk mencuba sistem keselamatan sesebuah sistem sahaja seperti yang pernah dilakukan oleh seorang pelajar di Singapura.

 

Masalah utama yang bakal timbul ialah penciptaan wang elektronik boleh meningkatkan kadar inflasi yang tinggi. Ini kerana apabila kita berada di dalam era digital, semua transaksi kewangan akan di lakukan secara elektronik. Malah ada kemungkinan kita tidak perlu lagi membawa duit kertas atau syiling untuk melakukan urusan perniagaan kerana kesemua transaksi perniagaan boleh dilakukan dengan mengunakan kad digital sahaja. Perubahan ini memang memudahkan pelbagai pihak, tidak kira di pihak pembeli, penjual, kerajaan, pengkaji dan lain-lain kerana pelbagai maklumat dapat dicapai dengan mudah. Permasalahan yang menyebabkan kenaikan inflasi ialah dengan penggunaan kad digital yang dimaksudkan akan merangsang lebih banyak penciptaan kredit. Dengan berlakunya penciptaan kredit yang berluasa oleh bank-bank komersial, penawaran wang di pasaran terhad berbanding permintaan pasaran wang. Justeru itu. ada individu yang tidak dapat membayar hutang kredit dan mengalami masalah tindakan undang-undang bankrupsi. Disini, bagi menampung mereka yang bankrup, bank negara perlu mencetak lebih banyak wang dan seterusnya mengurangkan kuasa beli pengguna kerana nilai mata wang telah jatuh disebabkan inflasi. Oleh itu, kajian terperinci untuk menangani kesan e-ekonomi di dalam sistem kewangan, dan cara-cara menangani masalah tersebut perlu di lakukan demi untuk memastikan kestabilan ekonomi dan kemakmuran negara Malaysia.

 

Email the author